Tuesday, October 7, 2008

FIKIR BAIK2 REBUT JAWATAN UTAMA UMNO

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan ahli-ahli parti yang menawarkan diri secara terbuka untuk merebut beberapa jawatan utama dalam UMNO memikirkan dengan betul-betul apakah tujuan dan matlamat sebenar mereka menawarkan diri.

Menurutnya, mereka perlu memikirkan baik-baik hasrat tersebut sebelum membuat sebarang keputusan muktamad.

''UMNO tidak menghalang atau menyekat sesiapa sahaja ahli parti untuk bertanding kerana UMNO mengamalkan demokrasi,'' katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Ke-14 Jawatankuasa Bersama Perdagangan Malaysia-Australia di sini hari ini.

Mengulas mengenai minat mendadak ahli-ahli parti dan lebih mengejutkan dengan hasrat Ketua Cawangan UMNO Kampung Umbai, Pekan, Pahang, Mohammad Hanapi Salleh bertanding jawatan Naib Presiden UMNO, beliau berkata, mereka ini perlu memikirkan semasak-masaknya hasrat tersebut.

Berhubung pendirian beberapa pemimpin UMNO mengumumkan keinginan untuk merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin berkata, beliau akan membuat kenyataan selepas pengumuman yang akan dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi nanti.

Setakat ini, mereka yang telah menawarkan diri secara terbuka untuk bertanding jawatan tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam dan Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Ditanya mengenai pandangan beberapa ahli parti yang melihat persaingan merebut jawatan-jawatan utama parti dilihat seolah-olah UMNO semakin teruk seperti tidak ada pemimpin, beliau berkata, itu adalah pendirian masing-masing.

''Bagi saya adalah pihak yang ada kepentingan, pandangan-pandangan tersebut perlu diambil kira,'' katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin sekali lagi menegaskan beliau hanya akan mengumumkan pendirian bertanding jawatan Timbalan Presiden selepas Abdullah dan Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan pendirian masing-masing.

Menurutnya, beliau perlu menunggu pengumuman yang akan dibuat oleh Abdullah sebelum disusuli oleh pendirian daripada Najib.

''Selepas itu, barulah saya akan buat keputusan. Setakat ini, saya belum membuat sebarang pendirian.

''Kalau mungkin Perdana Menteri buat pengumuman esok, saya jangka Najib akan nyatakan pendirian untuk jawatan Presiden, saya jangka begitu.

''Kalau ada ruang terbuka, saya akan buat kenyataan yang tertentu,'' katanya.SUMBER : UTUSAN MALAYSIA - 081008

1 comment:

panglimapitas said...

betulla tu, umno untuk membila naspb rakyat keseluruhan dan negara tercinta. bukan untuk pertarungan rasuah dan bukan pula untuk kepentinggan peribadi.

ok boos....