Tuesday, October 14, 2008

TIM.MENTERI PENERANGAN USAH BANGKITKAN KEMARAHAN MELAYU

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe tidak wajar membangkitkan kemarahan orang Melayu dengan menyamakan asal usul orang Melayu dengan asal usul setiap kaum di negara ini, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Khaled Nordin.

Beliau berkata, sebagai seorang timbalan menteri dan pemimpin parti dalam Barisan Nasional (BN), sewajarnya Lian Hoe faham dan menghormati parti komponen lain terutama UMNO.

"Jangan rosakkan hubungan antara kaum yang telah terbina, isu ini sepatutnya tidak ditimbulkan," tegas beliau pada sidang akhbar selepas majlis hari raya Yayasan Pendidikan Cheras dan Kolej Teknologi Yayasan Pendidikan Cheras di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee dan Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr. Mohd. Fuad Zarkashi.

Lian Hoe pada persidangan Gerakan Jumaat lalu memberi peringatan supaya semua pihak tidak melupakan sejarah selain menyamakan asal usul setiap kaum di negara ini.

Beliau dipetik sebagai berkata: "Orang Melayu datang dari kepulauan Melayu di Nusantara. Orang Cina dari negara China. Orang India dari negara India."

Khaled berkata, orang Melayu tidak sepatutnya dianggap pendatang kerana Melayu telah mempunyai kerajaan bermula abad ke-15 lagi iaitu zaman Kesultanan Melayu Melaka.

"Ini adalah kawasan Nusantara, orang Melayu adalah dari kepulauan ini dan telah lama membina tamadun di negara ini," jelas beliau.

Sementara itu, ditanya sama ada kerajaan perlu mengkaji semula penganjuran rumah terbuka perayaan, Khaled berkata:

"Amalan ini tidak sepatutnya dihapuskan kerana ia penting dalam usaha memupuk perpaduan kaum kerana ia dapat mendedahkan rakyat dengan budaya lain.

"Ini penting bagi memastikan rakyat saling hormat-menghormati terutamanya di negara yang berbilang kaum seperti Malaysia.''
UTUSAN MALAYSIA -151008